SYABAS! ANDA MEMBANGGAKAN KAMI

SYABAS! ANDA MEMBANGGAKAN KAMI

Monday, June 9, 2008

JANGAN BUAT DEMONSTRASI KATA DOLLAH


Oleh MHS

Pengumuman kenaikan harga petrol dan diesel telah mendapat liputan dan reaksi yang pelbagai dari segenap penjuru negara. Pengumumannya adalah rekod terbaru yang memecahkan rekod-rekod sebelum ini di mana petrol naik 78 sen kepada RM2.70 seliter dan diesel naik RM1 kepada RM2.50 seliter.

Dalam satu sesi dialog bersama wartawan, Dollah juga meminta agar rakyat jangan buat DEMONTRASI kerana kerajaan tiada pilihan melainkan menaikkan harga petrol dan diesel yang turut menyebabkan kenaikan caj elektrik sebanyak 18% bagi kegunaan kediaman dan 26% bagi kegunaan premis perniagaan.

Semasa pilihanraya kita sudah menjangkakan perkara ini dan pada waktu itu, kenaikan yang dijangkakan hanyalah sekitar 60 sen. Tetapi keputusan kabinet baru-baru ini benar-benar di luar dugaan rakyat.

BN Tipu Rakyat

Pada 3 Mei lalu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Shahrir Samad mengumumkan bahawa kenaikan tersebut dijangkakan berlaku pada bulan Ogos. Tapi menjadi kemusykilan pada rakyat kerana pengumuman itu jelas menyimpang jauh dari keputusan mesyuarat mingguan kabinet yang menetapkan kenaikan itu bermula pada 5 Mei 2008.

Sebelum dan semasa pilihanraya pula, Dollah juga ada mengisytiharkan bahawa Kerajaan BN tidak akan menaikkan harga minyak pada tahun ini dan pengumuman tersebut melegakan rakyat yang diasak dengan pelbagai kenaikan harga barang secara besar-besaran.

Penipuan demi penipuan dimainkan dan akhirnya selepas pilihanraya, isu kenaikan harga minyak di pasaran dunia dicanangkan setiap hari dan dalam masa yang sama strategi menaikkan harga minyak disusun.

Inflasi berlaku tapi masih dinafikan

Masalah inflasi kesan dari kenaikan harga minyak dunia berlaku secara global dan Indonesia yang menjadi negara pengeluar minyak pun sudah angkat kaki keluar dari OPEC kerana mereka enggan menjual minyak berikutan kekurangan sumber itu dalam negara.

Dalam menangani masalah inflasi ini, kerajaan mengambil langkah menambahkan perbelanjaan fiskal yang menurut sesetengah pakar ekonomi, perbelanjaan yang dibuat melebihi dari kemampuan hingga menyebabkan negara terpaksa menambahkan beban hutang.

Projek NCER dan ECER sahaja sudah melibatkan kos sebanyak RM289 billion yang mana rakyat terpaksa ikat perut dengan struktur penyusunan ekonomi yang melibatkan pembangunan infrastruktur mega ini.

Memang ada kebaikkannya tetapi bila projek-projek mega ini dimulakan serentak dengan keadaan negara kini terbeban dengan spekulasi kenaikan harga minyak, maka kos untuk sara hidup rakyat melonjak naik dengan kapasiti kemampuan perbelanjaan yang semakin mengecil bila mana subsidi dikekang oleh kerajaan kerana jumlah perbelanjaan itu dimasukkan dalam akaun projek mega.

Peningkatan kadar kenaikan gaji hanya berlaku di sektor awam dan di sektor swasta ianya tidak berlaku. Syarikat-syarikat multinasional pun terpaksa membekukan kenaikkan gaji dan masih mengikuti pelan kenaikan asal.

Bagi syarikat kecil, kenaikan harga minyak pastinya akan membebankan kos pengangkutan dan perbelanjaan hingga menyebabkan kadar kenaikan gaji dipertimbangkan semula, malah ada yang berkira-kira untuk keluar dari dunia perniagaan kerana tidak mampu bertahan.

Inflasi yang berlaku turut menyebabkan penurunan produktiviti pengeluaran termasuklah dalam sektor penghasilan makanan seperti pertanian, perikanan dan penternakan. Para peniaga akan terus rugi jika kadar pengeluaran ditingkatkan dan dalam masa yang sama mereka dikekang untuk naikkan harga.

Jadi alternatif pilihan mereka adalah dengan mengurangkan pengeluaran yang dijangkakan dapat menjimatkan kos-kos sampingan. Jika sekarang ini kilang mereka beroperasi 24 jam, mungkin akan dikurangkan kepada 18 jam atau 12 jam sahaja.

Kesan dari itu, penawaran barang akan jadi lebih terhad dan seterusnya menuntut kenaikan yang lebih besar secara paksa dalam pasaran kerana rakyat tiada pilihan. Mereka juga perlu makan dan mahu atau tidak mereka kena berbelanja lebih.

Apa Yang Rakyat Mahu Sebagai Alternatif

Pengurangan atau pemansuhan cukai jalan, tol, cukai tak langsung, dan pengamalan langkah-langkah proaktif dalam mengurangkan perbelanjaan kerajaan kepada aktiviti yang tidak perlu haruslah didesak bagi mengurangkan beban ekonomi rakyat.

Insentif percuma juga harus diberikan kepada sektor pendidikan dan juga sektor kesihatan yang kini turut mengalami impak terhadap fenomena ekonomi yang tidak menentu ini.

Selain itu, pengukuhan sektor pertanian negara haruslah menjadi agenda nombor satu bagi memastikan kita mempunyai stok makanan yang cukup untuk rakyat dan kita tidak perlulah terus-menerus bergantung pada sumber dari luar negara.

DEMONTRASI Adalah Manifestasi Hak Demokrasi Rakyat

DEMONTRASI harus terjadi, dan manifestasinya haruslah pelbagai. Rakyat wajar diberikan hak untuk bersuara dan menzahirkan ketidakpuasan hati mereka dan Kerajaan BN haruslah profesional dalam melayani reaksi rakyat.

Kita tidak mahu DEMONTRASI jalanan dijadikan medan untuk kerajaan menunjukan kuasa kuku besi mereka.

Biarlah rakyat beraksi di jalan raya kerana itulah ruang bagi mereka menunjukan sikap prihatin mereka pada isu ini dan juga sebagai satu cabang demokrasi yang sememangnya memimpin pemikiran kritis rakyat agar dikongsi dalam pelbagai medium.

Jadi rayuan Dollah agar tidak berdemo pastinya menentang arus semasa. Dollah telah menyakiti rakyat, dan rakyat berhak untuk menjerit bagi memberitahu beliau bahawa apa yang dilakukan itu adalah menyakitkan hati mereka.

Terpulanglah bagaimana langkah yang akan diatur, tetapi realiti kini semua rakyat tidak mampu lagi menerima himpitan ini.

Pemimpin Kerajaan BN juga harus bertanggungjawab mengurangkan belanja mereka dan tidak makan di hotel-hotel mewah, tidak berbelanja banyak di luar negara, tidak menghabiskan dana negara untuk pembelian perkara tidak perlu seperti cadangan membeli roket yang membawa pelancong angkasa pertama negara serta aktiviti yang mendatangkan pulangan yang rendah kepada negara pada masa ini.

Apa pun yang berlaku, rakyat harus bangkit bagi menyatakan suara demokrasi mereka yang sebenar bukan hanya sekadar tertunai semasa pilihanraya sahaja. mhs

No comments:

MEMORI PERJUANGAN