SYABAS! ANDA MEMBANGGAKAN KAMI

SYABAS! ANDA MEMBANGGAKAN KAMI

Monday, May 12, 2008

INTERVIEW EKSKLUSIF BERSAMA YANG BERBAHAGIA ENCIK AMERUDIN KASSIM, KETUA BAHAGIAN PKR SUBANG, MERANGKAP PENGARAH PRU Ke-12 PARLIMEN SUBANG

MNS : Apa khabar, Encik Amerudin? Boleh saya panggil En. Amer sahaja supaya lebih mesra?

Amerudin : Alhamdulillah. Khabar baik. Boleh.

MNS : Terlebih dahulu saya ucapkan ribuan terima kasih kerana sudi luangkan masa beri peluang kepada saya untuk menemu bual Encik Amer.

Amerudin : Silakan.

MNS : Ramai orang mengatakan bahawa pasca PRU Ke-12 yang lalu keinginan meluas rakyat untuk menyertai parti kita dan parti dalam Pakatan Rakyat terutamanya di Subang mendapat sambutan luar biasa. Bolehkah Encik Amer dapat menjelaskan senario ‘luar biasa’ ini?

Amerudin : Perubahan mood rakyat yang memberi ‘pukulan maut’ khususnya di Selangor ini kepada BN pada PRU Ke-12 yang lalu telah memberi impak kepada kesedaran rakyat untuk bersama kita dan Pakatan Rakyat sebagai ahli dalam organisasi. Saya lihat sendiri dan ia memang benar. Hal ini demikian kerana keyakinan sedari awal lagi rakyat akan tawaran realistik kita ditambah pula kegagalan demi kegagalan BN memberi respon segera kepada permasalah rakyat dan negara telah banyak membantu kita meraih kemenangan ‘luar biasa’ ini. Kini, tugas kita adalah memberi ruang dan peluang kepada mereka untuk sama-sama mengisi kemenangan ini secara kolektif dalam satu organisasi parti. Ibarat rumah terbakar maka ramailah lari bertempiaran mencari perlindungan. Kita yang selamat wajar memberi perlindungan itu dan memberi segala bantuan bagi memulihkan emosi mereka dengan sebaik-baiknya. Rumah lama telah hangus. Sementara mangsa kebakaran menanti rumah baru segala keperluan asas mereka wajar kita fikirkan bersama. Maksud saya, bila dah ramai ini, motivasi kepada asas prisip perjuangan parti kita perlu diterangkan sebaik mungkin kepada mereka lantaran hilangnya kepercayaan mereka kepada BN.

MNS : Encik Amer, apakah sebenarnya kepentingan mencari dan mendaftarkan ahli baru ini kepada parti kita?

Amerudin : Kepentingan ahli baru ini tidak dapat dinafikan kerana sewaktu PRU Ke-12 lalu kami menghadapi sedikit kesukaran dalam mendapatkan sukarelawan untuk menggerakkan jentera parti untuk menjalankan kegiatan kempen seharian. Mujurlah calon-calon YB kita ini adalah di kalangan aktivis pertubuhan bukan kerajaan atau NGO di mana mereka ini punyai ramai ahli yang komited kepada kerja-kerja kesukarelawanan dan bijak untuk melaksanakan tugas-tugas yang diberikan kepada mereka. Sebagai contohnya, untuk kawasan elit dan berpendidikan tinggi seperti di Bandar Utama dan beberapa seksyen di Kota Damansara kehadiran mereka telah banyak menyumbang kepada keberkesanan gerak kerja kempen. Tanpa penglibatan aktif mereka, agak sukar juga bagi kami menggerakkan kempen yang menyeluruh di Subang ini. Oleh sebab itu, tanpa menafikan kehebatan sumbangan dan perit jerih ahli-ahli dan pimpinan PKR bahagian, sokongan gerak kerja tidak berbelah bahagi ahli-ahli NGO ini telah melengkapkan satu kerjasama kolektif yang padu.

MNS : Apakah pandangan Encik Amer tentang Ahli Parlimen (MP) kita iaitu YB Tuan R. Sivarasa?

Amerudin : Kami rasa sangat bertuah kerana mendapat MP yang kuat bekerja dan dalam masa yang sama beliau seorang yang penting dalam parti iaitu sebagai Naib Presiden dan seterusnya ahli MPT yang sudah tentu lebih arif tentang dasar-dasar parti. Oleh yang demikan segala gerak kerja terutama yang berkaitan dengan dasar parti akan lebih mudah dengan kehadiran YB Tuan R.Sivarasa. Justeru, pihak bahagian boleh terus menumpukan kerja mengukuhkan jentera bagi memperkuatkan semangat ahli bagi menghadapi PRU ke-13.

MNS : Baik. Bagaimanakah pula dengan gerak kerja untuk membantu wakil rakyat-wakil rakyat kita dalam memenuhi tuntutan manifesto PRU yang lalu?

Amerudin : Kami kekal komited dengan manifesto yang dilancarkan pada PRU yang lalu. Kami telah pun bersama YB Tuan Sivarasa menyelaraskan biro-biro berkaitan untuk menyelesaikan permasalahan rakyat terutama kes-kes tertangguh peninggalan wakil rakyat BN.

MNS : Siapa ahli dalam biro-biro ini dan apa pula fungsi mereka?

Amerudin : Biro-biro ini terdiri daripada gabungan ahli-ahli di bahagian dan petugas-petugas parlimen yang dipilih oleh saya sendiri di pihak bahagian manakala di pihak parlimen oleh YB Sivarasa sendiri. Biro-biro ini bertindak merangkul kesemua permasalahan dan hasrat rakyat di sini selaras dengan kehendak dasar parti kita yang mementingkan hak dan keadilain yang dijamin bagi semua.

MNS : Daripada perbualan kita tadi, apakah harapan Encik Amer menjelang PRU ke-13 nanti?

Amerudin : Kami mahu terus kekal mewakili rakyat di sini. Dengan gerak kerja yang tersusun dan kerjasama yang erat daripada rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat (PR) kami yakin akan dapat menawan kerusi tunggal BN di Subang iaitu di DUN Paya Jaras kerana jelas kini harapan baru untuk Malaysia telah menjadi satu sandaran kuat buat rakyat untuk menegakkan ketuanan rakyat.

MNS : Terima kasih saya ucapkan kepada Encik Amer kerana sudi untuk ditemubual.
Amerudin : Terima kasih kembali.

No comments:

MEMORI PERJUANGAN