SYABAS! ANDA MEMBANGGAKAN KAMI

SYABAS! ANDA MEMBANGGAKAN KAMI

Monday, July 21, 2008

ANWAR SERAH 8 DOKUMEN PADA BPR BABITKAN GANI DAN MUSA

Oleh Harakah

KUALA LUMPUR, 21 Julai 2008 - Ketua Umum Parti KeADILan, Dato' Seri Anwar Ibrahim menyerahkan lapan dokumen kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) di ibu pejabatnya di Putra Jaya hari ini berhubung dakwaannya terhadap Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan dan pasukan mereka.

Dakwanya, Gani Patail dan Musa terlibat memalsukan keterangan beliau dipukul oleh bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Rahim Noor pada 1998.

Anwar yang bercakap kepada kira-kira 50 wakil media yang menunggunya di luar pintu di Bangunan BPR sejak 10 pagi tadi berkata beliau, turut membawa kes jenayah bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Rahim Nor terhadapnya.

Selain itu katanya, beliau juga mengemukakan dokumen mengenai ujian DNA beliau yang diambil pada tahun 1998 untuk menghina beliau.

"Saya berpuas hati kerana BPR mencatat semua keterangan dengan profesional dan mereka meminta dokumen dan saya berikan semua dokumen yang ada di tangan saya," katanya yang ditemani dua peguamnya, Sivarasa Rasiah dan Dato' Parakumarasan.

Beliau memberi keterangan selama lebih tiga jam kepada BPR.

Anwar yang hadir di Ibu Pejabat BPR pada jam 9.30 pagi tadi memberi keterangan kali kedua selepas beliau hadir pada Rabu lepas berhubung laporan polis dibuatnya 1 Julai lalu.

Beliau memberi keterangan berhubung laporan polis yang dibuat terhadap Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan dan Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail.

Dalam pada itu, ditanya mengenai fail saman RM5 juta terhadapnya oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hasan, hari ini, berkata beliau dengan senang hati beliau akan berhadapan kes tersebut di mahkamah.

Dalam sidang media yang sama, Anwar menafikan beliau "mempolitikkan" isu beliau dibogel ketika menjalani pemeriksaan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) sebagaimana didakwa Menteri Dalam Negeri Dato' Seri Syed Hamid Albar.

"Saya ditelanjang sewaktu pemeriksaan doktor dan kemaluan saya diukur.

"Saya diminta mengisi "borang mangsa rogol" di HKL minggu lepas semasa saya dibawa polis untuk pemeriksaan dalam siasatan dakwaan meliwat pembantu saya," ulanginya mengenai dakwaan beliau dibogel oleh HKL baru-baru ini.

Sementara itu, bercakap mengenai isu muzakarah PAS dan Umno, katanya, beliau menerimanya dengan baik.

Bagaimanapun katanya, beliau menyerahkan isu tersebut kepada Presiden KeADILan, Dato' Seri Wan Azizah Wan Ismail. - mks.

Sunday, July 13, 2008

"SAYA TIDAK AKAN LAYAN TOHMAHAN" - ANWAR

Oleh Mohd Sabri Said Mon
PERMATANG PAUH, 14 Julai 08 - "Mulai sekarang saya tidak akan melayan segala macam tohmahan yang dilemparkan tetapi akan menumpukan usaha penubuhan kerajaan baru," tegas Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (KeADILan), Dato' Seri Anwar Ibrahim semasa berucap dalam majlis meraikan penganugerahan pingat Darjah Utama Pangku Negeri (DUPN) yang membawa gelaran 'Dato' Seri' kepada Ahli Parlimen Permatang Pauh oleh TYT Yang Dipertua Negeri, Dato' Seri Tun (Dr) Haji Abdul Rahman Abas sempena ulangtahun yang ke-70 baru-baru ini.
Jelasnya, sekarang bukan masa untuk bercakap tentang halangan sebaliknya meniti puncak kejayaan dengan kerja kuat di samping menyakinkan rakyat dengan apa cara sekalipun asalkan ia menepati sistem demokrasi negara.
"Sepuluh tahun lalu sudah cukup untuk melawan cakap atau usaha jahat Barisan Nasional (BN) untuk memburuk-burukkan saya dan keluarga. Hari ini peristiwa sama berulang dan ia akan ditentukan oleh rakyat kerana ramai telah menyedari ia satu perancangan jahat melambatkan peralihan kuasa pemerintahan.
"BN terpaksa mencari individu untuk mengaitkan peristiwa hitam kononnya terlibat dengan kes liwat semula serta mempergunakan sekumpulan orang menyerang maruah supaya rakyat tidak termakan dengan usaha menegakkan kebenaran bersama parti PAS dan DAP," ujar beliau lagi.

Tambahnya,apa yang perlu dilaksanakan sekarang ini penerangan agar rakyat terus memilih Pakatan Rakyat menolak kepimpinan yang korupsi.

"Sebenarnya BN dan kepimpinannya terasa kepanasan bukannya Pakatan Rakyat sebab itu mereka cuba merenggangkan pakatan yang dibina sejak era reformasi lagi," katanya.

Justeru itu, sambung mantan Timbalan Perdana Menteri dalam ucapannya di Seberang Jaya baru-baru ini, dalam masa dua bulan lagi ekonomi negara akan jatuh merudum, penggangguran bertambah ramai, pelabur hilang keyakinan dan banyak lagi perkara yang memporak perandakan negara.

"Tiada jalan lain untuk menyelamatkan keadaan itu hanyalah perubahan kepimpinan bukan slogan atau memperkenalkan dasar yang sudah lapuk sebagai bantuan kepada rakyat yang diasak dengan kenaikan.

"Hari ini marilah kita bersama berganding bahu menuju pemerintah baru tinggalkanlah negara yang korupsi dan penuh dengan penyelewengan. Walaupun rumah baru berselerak tapi ingat kita ada penyapu untuk membersihkanya, " katanya.

Menyentuh mengenai debat antaranya dengan Menteri Penerangan, Ahmad Sabery Chik pada 15 Julai ini beliau berkata, ia adalah tanggungjawab untuk menerangkan kepada rakyat bahawa sebenarnya harga minyak boleh diturunkan bukan disebabkan kepentingan politik.

"Walaupun permintaan saya untuk berdebat dengan Perdana Menteri atau timbalannya atau kedua-duanya tapi apa boleh buat depa bagi Menteri Penerangan. Dia pun tak apa yang penting saya akan terangkan bagaimana harga minyak boleh diturunkan kepada rakyat, " terang Anwar lagi.

Bersama dalam program tersebut di Yayasan Aman, Penanti ialah Pengerusi Perhubungan KeADILan Negeri, Dato' Zahrin Mohd Hashim; Pengarah pilihan raya KeAdiLan Negeri, Mustafa Kamal Yusuf; Ahli Parlimen Balik Pulau, Yusmadi Yusuf; Timbalan Ketua KeADILan Bahagian Permatang Pauh, Che Mat Hashim dan isterinya Dato' Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail. - mks. _

MEMORI PERJUANGAN