SYABAS! ANDA MEMBANGGAKAN KAMI

SYABAS! ANDA MEMBANGGAKAN KAMI

Monday, July 21, 2008

ANWAR SERAH 8 DOKUMEN PADA BPR BABITKAN GANI DAN MUSA

Oleh Harakah

KUALA LUMPUR, 21 Julai 2008 - Ketua Umum Parti KeADILan, Dato' Seri Anwar Ibrahim menyerahkan lapan dokumen kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) di ibu pejabatnya di Putra Jaya hari ini berhubung dakwaannya terhadap Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan dan pasukan mereka.

Dakwanya, Gani Patail dan Musa terlibat memalsukan keterangan beliau dipukul oleh bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Rahim Noor pada 1998.

Anwar yang bercakap kepada kira-kira 50 wakil media yang menunggunya di luar pintu di Bangunan BPR sejak 10 pagi tadi berkata beliau, turut membawa kes jenayah bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Rahim Nor terhadapnya.

Selain itu katanya, beliau juga mengemukakan dokumen mengenai ujian DNA beliau yang diambil pada tahun 1998 untuk menghina beliau.

"Saya berpuas hati kerana BPR mencatat semua keterangan dengan profesional dan mereka meminta dokumen dan saya berikan semua dokumen yang ada di tangan saya," katanya yang ditemani dua peguamnya, Sivarasa Rasiah dan Dato' Parakumarasan.

Beliau memberi keterangan selama lebih tiga jam kepada BPR.

Anwar yang hadir di Ibu Pejabat BPR pada jam 9.30 pagi tadi memberi keterangan kali kedua selepas beliau hadir pada Rabu lepas berhubung laporan polis dibuatnya 1 Julai lalu.

Beliau memberi keterangan berhubung laporan polis yang dibuat terhadap Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan dan Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail.

Dalam pada itu, ditanya mengenai fail saman RM5 juta terhadapnya oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hasan, hari ini, berkata beliau dengan senang hati beliau akan berhadapan kes tersebut di mahkamah.

Dalam sidang media yang sama, Anwar menafikan beliau "mempolitikkan" isu beliau dibogel ketika menjalani pemeriksaan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) sebagaimana didakwa Menteri Dalam Negeri Dato' Seri Syed Hamid Albar.

"Saya ditelanjang sewaktu pemeriksaan doktor dan kemaluan saya diukur.

"Saya diminta mengisi "borang mangsa rogol" di HKL minggu lepas semasa saya dibawa polis untuk pemeriksaan dalam siasatan dakwaan meliwat pembantu saya," ulanginya mengenai dakwaan beliau dibogel oleh HKL baru-baru ini.

Sementara itu, bercakap mengenai isu muzakarah PAS dan Umno, katanya, beliau menerimanya dengan baik.

Bagaimanapun katanya, beliau menyerahkan isu tersebut kepada Presiden KeADILan, Dato' Seri Wan Azizah Wan Ismail. - mks.

Sunday, July 13, 2008

"SAYA TIDAK AKAN LAYAN TOHMAHAN" - ANWAR

Oleh Mohd Sabri Said Mon
PERMATANG PAUH, 14 Julai 08 - "Mulai sekarang saya tidak akan melayan segala macam tohmahan yang dilemparkan tetapi akan menumpukan usaha penubuhan kerajaan baru," tegas Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (KeADILan), Dato' Seri Anwar Ibrahim semasa berucap dalam majlis meraikan penganugerahan pingat Darjah Utama Pangku Negeri (DUPN) yang membawa gelaran 'Dato' Seri' kepada Ahli Parlimen Permatang Pauh oleh TYT Yang Dipertua Negeri, Dato' Seri Tun (Dr) Haji Abdul Rahman Abas sempena ulangtahun yang ke-70 baru-baru ini.
Jelasnya, sekarang bukan masa untuk bercakap tentang halangan sebaliknya meniti puncak kejayaan dengan kerja kuat di samping menyakinkan rakyat dengan apa cara sekalipun asalkan ia menepati sistem demokrasi negara.
"Sepuluh tahun lalu sudah cukup untuk melawan cakap atau usaha jahat Barisan Nasional (BN) untuk memburuk-burukkan saya dan keluarga. Hari ini peristiwa sama berulang dan ia akan ditentukan oleh rakyat kerana ramai telah menyedari ia satu perancangan jahat melambatkan peralihan kuasa pemerintahan.
"BN terpaksa mencari individu untuk mengaitkan peristiwa hitam kononnya terlibat dengan kes liwat semula serta mempergunakan sekumpulan orang menyerang maruah supaya rakyat tidak termakan dengan usaha menegakkan kebenaran bersama parti PAS dan DAP," ujar beliau lagi.

Tambahnya,apa yang perlu dilaksanakan sekarang ini penerangan agar rakyat terus memilih Pakatan Rakyat menolak kepimpinan yang korupsi.

"Sebenarnya BN dan kepimpinannya terasa kepanasan bukannya Pakatan Rakyat sebab itu mereka cuba merenggangkan pakatan yang dibina sejak era reformasi lagi," katanya.

Justeru itu, sambung mantan Timbalan Perdana Menteri dalam ucapannya di Seberang Jaya baru-baru ini, dalam masa dua bulan lagi ekonomi negara akan jatuh merudum, penggangguran bertambah ramai, pelabur hilang keyakinan dan banyak lagi perkara yang memporak perandakan negara.

"Tiada jalan lain untuk menyelamatkan keadaan itu hanyalah perubahan kepimpinan bukan slogan atau memperkenalkan dasar yang sudah lapuk sebagai bantuan kepada rakyat yang diasak dengan kenaikan.

"Hari ini marilah kita bersama berganding bahu menuju pemerintah baru tinggalkanlah negara yang korupsi dan penuh dengan penyelewengan. Walaupun rumah baru berselerak tapi ingat kita ada penyapu untuk membersihkanya, " katanya.

Menyentuh mengenai debat antaranya dengan Menteri Penerangan, Ahmad Sabery Chik pada 15 Julai ini beliau berkata, ia adalah tanggungjawab untuk menerangkan kepada rakyat bahawa sebenarnya harga minyak boleh diturunkan bukan disebabkan kepentingan politik.

"Walaupun permintaan saya untuk berdebat dengan Perdana Menteri atau timbalannya atau kedua-duanya tapi apa boleh buat depa bagi Menteri Penerangan. Dia pun tak apa yang penting saya akan terangkan bagaimana harga minyak boleh diturunkan kepada rakyat, " terang Anwar lagi.

Bersama dalam program tersebut di Yayasan Aman, Penanti ialah Pengerusi Perhubungan KeADILan Negeri, Dato' Zahrin Mohd Hashim; Pengarah pilihan raya KeAdiLan Negeri, Mustafa Kamal Yusuf; Ahli Parlimen Balik Pulau, Yusmadi Yusuf; Timbalan Ketua KeADILan Bahagian Permatang Pauh, Che Mat Hashim dan isterinya Dato' Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail. - mks. _

Friday, June 13, 2008

PERHIMPUNAN DI ISTANA NEGARA, YB SIVARASA DAN 5 ANTARA DITAHAN

Oleh ARS

KUALA LUMPUR, 14 Jun 08 - Enam orang, termasuk dua ahli Parlimen PKR ditahan, dipercayai kerana mempertikaikan tindakan polis melarang sekumpulan 70 orang penyokong Hindraf berhimpun di depan Istana Negara.Kumpulan itu termasuk 40 kanak-kanak yang membawa ‘teddy bear' untuk diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong sempena sambutan Hari Bapa hari ini.

Ia merupakan tindakan simbolik bagi mencerminkan anak-anak kepada tahanan ISA yang tidak dapat menyambutnya bersama bapa masing-masing yang ditahan di Kem Tahanan Kamunting.

Dua ahli parlimen PKR yang ditahan itu ialah Zuraida Kamaruddin (Ampang) dan Sivarasa Rasiah (Subang).

Kra-kira 70 anggota polis termasuk 20 anggota Unit Simpanan Persekutuan (FRU), berkawal di luar Istana Negara.

Sivarasa ditahan pada kira-kira jam 10.25 pagi manakala Zuraida pula ditahan lima minit kemudiannya.

Keenam-enam mereka kemudiannya dimasukkan ke dalam van polis, dipercayai dibawa ke balai polis Brickfields.

Pada kira-kira jam 10.40 pagi, kumpulan tersebut tiba dengan menaiki bas yang berhenti kira-kira 500 meter dari istana.

Mereka kemudian berjalan beramai-ramai menuju ke Istana Negara, termasuk kira-kira 30 orang dewasa yang memakai lencana Barisan Bertindak Hak Hindu (Hindraf).

Berunding dengan polis

Bagaimanapun, mereka tidak dibenarkan menghampir istana oleh anggota polis yang mengawal kawasan tersebut.

Kemudian, Ahli Exco Kerajaan Negeri, Ronie Liu tiba dan berunding dengan pegawai polis di situ.

Selepas setengah jam berunding, polis membenarkan kanak-kanak tersebut menghampir utama istana untk menyerahkan 'teddy bear'.

Difahamkan, pihak istana bersetuju menghantar wakil untuk menerima hadiah dari kanak-kanak tersebut.

Bagaimanapun apabila tiada wakil istana yang muncul, mereka mengambil keputusan untuk menyerahkan 'teddy bear' dan sedulang pisang kepada Ronie sebagai mewakili kerajaan Selangor.

Mereka kemudiannya meminta kerajaan negeri mengatur untuk menyerahkan 'teddy bear' tersebut kepada Yang di-Pertuan Agong.

Kumpulan tersebut kemudiannya bersurai pada kira-kira jam 11.30 pagi. Perhimpunan pagi ini berjalan secara aman. ars

Tuesday, June 10, 2008

SELANGOR TINGKAT PROMOSI PELANCONGAN DALAM NEGERI

Oleh Noor Allia Kassim
DAMANSARA, 8 Jun - Selangor akan memperhebatkan promosi pelancongan dalam negeri bagi memberi pilihan kepada rakyat.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar, Elizabeth Wong berkata satu mesyuarat tergempar akan diadakan dengan wakil pihak berkuasa tempatan (PBT) berikutan pengumuman kenaikan harga minyak.

"Sudah tentu sektor pelancongan juga terjejas, saya akan berbincang dengan wakil PBT di mana kita akan galakkan pelancongan dalam negeri dan rakyat boleh jimat minyak, tak perlu pergi jauh," katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri kempen Go Green! di pusat beli belah One Utama dekat sini tengah hari tadi.

Beliau berkata kenaikan harga minyak sudah tentu memberi kesan kepada pelancong tempatan yang mungkin perlu berfikir banyak kali untuk melancong di luar Selangor.

Sementara itu dalam ucapan ringkasnya pada kempen itu, beliau menggesa orang ramai memulakan kempen 3R (reduce, reuse & recycle) di rumah.

"Mulakanlah (di rumah) dahulu dan pastinya akan jadi satu amalan berterusan," katanya.

Beliau juga berharap orang ramai dapat memberi sokongan kepada Jabatan Alam Sekitar dan badan-badan bukan kerajaan yang berusaha memelihara alam sekitar untuk masa depan yang lebih baik. - nak

Monday, June 9, 2008

JANGAN BUAT DEMONSTRASI KATA DOLLAH


Oleh MHS

Pengumuman kenaikan harga petrol dan diesel telah mendapat liputan dan reaksi yang pelbagai dari segenap penjuru negara. Pengumumannya adalah rekod terbaru yang memecahkan rekod-rekod sebelum ini di mana petrol naik 78 sen kepada RM2.70 seliter dan diesel naik RM1 kepada RM2.50 seliter.

Dalam satu sesi dialog bersama wartawan, Dollah juga meminta agar rakyat jangan buat DEMONTRASI kerana kerajaan tiada pilihan melainkan menaikkan harga petrol dan diesel yang turut menyebabkan kenaikan caj elektrik sebanyak 18% bagi kegunaan kediaman dan 26% bagi kegunaan premis perniagaan.

Semasa pilihanraya kita sudah menjangkakan perkara ini dan pada waktu itu, kenaikan yang dijangkakan hanyalah sekitar 60 sen. Tetapi keputusan kabinet baru-baru ini benar-benar di luar dugaan rakyat.

BN Tipu Rakyat

Pada 3 Mei lalu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Shahrir Samad mengumumkan bahawa kenaikan tersebut dijangkakan berlaku pada bulan Ogos. Tapi menjadi kemusykilan pada rakyat kerana pengumuman itu jelas menyimpang jauh dari keputusan mesyuarat mingguan kabinet yang menetapkan kenaikan itu bermula pada 5 Mei 2008.

Sebelum dan semasa pilihanraya pula, Dollah juga ada mengisytiharkan bahawa Kerajaan BN tidak akan menaikkan harga minyak pada tahun ini dan pengumuman tersebut melegakan rakyat yang diasak dengan pelbagai kenaikan harga barang secara besar-besaran.

Penipuan demi penipuan dimainkan dan akhirnya selepas pilihanraya, isu kenaikan harga minyak di pasaran dunia dicanangkan setiap hari dan dalam masa yang sama strategi menaikkan harga minyak disusun.

Inflasi berlaku tapi masih dinafikan

Masalah inflasi kesan dari kenaikan harga minyak dunia berlaku secara global dan Indonesia yang menjadi negara pengeluar minyak pun sudah angkat kaki keluar dari OPEC kerana mereka enggan menjual minyak berikutan kekurangan sumber itu dalam negara.

Dalam menangani masalah inflasi ini, kerajaan mengambil langkah menambahkan perbelanjaan fiskal yang menurut sesetengah pakar ekonomi, perbelanjaan yang dibuat melebihi dari kemampuan hingga menyebabkan negara terpaksa menambahkan beban hutang.

Projek NCER dan ECER sahaja sudah melibatkan kos sebanyak RM289 billion yang mana rakyat terpaksa ikat perut dengan struktur penyusunan ekonomi yang melibatkan pembangunan infrastruktur mega ini.

Memang ada kebaikkannya tetapi bila projek-projek mega ini dimulakan serentak dengan keadaan negara kini terbeban dengan spekulasi kenaikan harga minyak, maka kos untuk sara hidup rakyat melonjak naik dengan kapasiti kemampuan perbelanjaan yang semakin mengecil bila mana subsidi dikekang oleh kerajaan kerana jumlah perbelanjaan itu dimasukkan dalam akaun projek mega.

Peningkatan kadar kenaikan gaji hanya berlaku di sektor awam dan di sektor swasta ianya tidak berlaku. Syarikat-syarikat multinasional pun terpaksa membekukan kenaikkan gaji dan masih mengikuti pelan kenaikan asal.

Bagi syarikat kecil, kenaikan harga minyak pastinya akan membebankan kos pengangkutan dan perbelanjaan hingga menyebabkan kadar kenaikan gaji dipertimbangkan semula, malah ada yang berkira-kira untuk keluar dari dunia perniagaan kerana tidak mampu bertahan.

Inflasi yang berlaku turut menyebabkan penurunan produktiviti pengeluaran termasuklah dalam sektor penghasilan makanan seperti pertanian, perikanan dan penternakan. Para peniaga akan terus rugi jika kadar pengeluaran ditingkatkan dan dalam masa yang sama mereka dikekang untuk naikkan harga.

Jadi alternatif pilihan mereka adalah dengan mengurangkan pengeluaran yang dijangkakan dapat menjimatkan kos-kos sampingan. Jika sekarang ini kilang mereka beroperasi 24 jam, mungkin akan dikurangkan kepada 18 jam atau 12 jam sahaja.

Kesan dari itu, penawaran barang akan jadi lebih terhad dan seterusnya menuntut kenaikan yang lebih besar secara paksa dalam pasaran kerana rakyat tiada pilihan. Mereka juga perlu makan dan mahu atau tidak mereka kena berbelanja lebih.

Apa Yang Rakyat Mahu Sebagai Alternatif

Pengurangan atau pemansuhan cukai jalan, tol, cukai tak langsung, dan pengamalan langkah-langkah proaktif dalam mengurangkan perbelanjaan kerajaan kepada aktiviti yang tidak perlu haruslah didesak bagi mengurangkan beban ekonomi rakyat.

Insentif percuma juga harus diberikan kepada sektor pendidikan dan juga sektor kesihatan yang kini turut mengalami impak terhadap fenomena ekonomi yang tidak menentu ini.

Selain itu, pengukuhan sektor pertanian negara haruslah menjadi agenda nombor satu bagi memastikan kita mempunyai stok makanan yang cukup untuk rakyat dan kita tidak perlulah terus-menerus bergantung pada sumber dari luar negara.

DEMONTRASI Adalah Manifestasi Hak Demokrasi Rakyat

DEMONTRASI harus terjadi, dan manifestasinya haruslah pelbagai. Rakyat wajar diberikan hak untuk bersuara dan menzahirkan ketidakpuasan hati mereka dan Kerajaan BN haruslah profesional dalam melayani reaksi rakyat.

Kita tidak mahu DEMONTRASI jalanan dijadikan medan untuk kerajaan menunjukan kuasa kuku besi mereka.

Biarlah rakyat beraksi di jalan raya kerana itulah ruang bagi mereka menunjukan sikap prihatin mereka pada isu ini dan juga sebagai satu cabang demokrasi yang sememangnya memimpin pemikiran kritis rakyat agar dikongsi dalam pelbagai medium.

Jadi rayuan Dollah agar tidak berdemo pastinya menentang arus semasa. Dollah telah menyakiti rakyat, dan rakyat berhak untuk menjerit bagi memberitahu beliau bahawa apa yang dilakukan itu adalah menyakitkan hati mereka.

Terpulanglah bagaimana langkah yang akan diatur, tetapi realiti kini semua rakyat tidak mampu lagi menerima himpitan ini.

Pemimpin Kerajaan BN juga harus bertanggungjawab mengurangkan belanja mereka dan tidak makan di hotel-hotel mewah, tidak berbelanja banyak di luar negara, tidak menghabiskan dana negara untuk pembelian perkara tidak perlu seperti cadangan membeli roket yang membawa pelancong angkasa pertama negara serta aktiviti yang mendatangkan pulangan yang rendah kepada negara pada masa ini.

Apa pun yang berlaku, rakyat harus bangkit bagi menyatakan suara demokrasi mereka yang sebenar bukan hanya sekadar tertunai semasa pilihanraya sahaja. mhs

Monday, May 26, 2008

EDDIEPUTRA : LAWATAN AMK SUBANG DI KAYU ARA CUKUP BERMAKNA


Oleh MNS

Kayu Ara 23 Mei 2008 - Barisan pimpinan AMK Subang yang diketuai oleh saudara Eddieputra telah membuat lawatan suaikenal bertemu jawatankuasa AMK Kayu Ara Utara yang terletak dalam DUN Bukit Lanjan.

Program suaikenal ini telah dimanfaatkan sebaiknya oleh pimpinan AMK Subang dengan pengisian penerangan isu semasa merangkumi agenda membantu parlimen Subang dan DUN di bawahnya, politik massa termasuk dalam dan luar negera selain berkongsi idea mencari pendekatan menjana keselarasan dan kekuatan AMK Subang khususnya dalam mendepani isu-isu nasional yang kian bertambah kompleks.

Jawatankuasa AMK Kayu Ara Utara yang hadir telah diberi kesempatan meluahkan pandangan kritis mereka secara terbuka berkaitan isu-isu tempatan yang lebih dekat dengan mereka. Pandangan yang diutarakan berkisar kepada permasalahan penempatan rumah transit untuk penduduk setinggan dan tempat beriadah bagi menjalankan aktiviti sukan indoor dan outdoor.

Saudara Eddieputra memberikan komitmennya untuk membantu mencari jalan penyelesaian yang terbaik kepada segala perkara dibangkitkan.

"Usaha atau inisiatif murni ini akan dirintis melalui satu koordinasi padu antara rakyat dan pemimpin terutama penglibatan aktif para wakil rakyat di Parlimen Subang ini", ujar saudara Eddieputra.

"Karisma yang ada pada diri Ahli Parlimen kita, YB Tuan Sivarasa iaitu seorang yang berlatar belakangkan juara isu hak asasi manusia patut dijadikan aset untuk kita mengenali dan mendalami sebaiknya akan pengalaman beliau dalam kita berusaha untuk menjadi juara jurubicara kepada rakyat", tambah saudara Eddieputra lagi mengakhiri perbualan malam itu. mns

Monday, May 12, 2008

INTERVIEW EKSKLUSIF BERSAMA YANG BERBAHAGIA ENCIK AMERUDIN KASSIM, KETUA BAHAGIAN PKR SUBANG, MERANGKAP PENGARAH PRU Ke-12 PARLIMEN SUBANG

MNS : Apa khabar, Encik Amerudin? Boleh saya panggil En. Amer sahaja supaya lebih mesra?

Amerudin : Alhamdulillah. Khabar baik. Boleh.

MNS : Terlebih dahulu saya ucapkan ribuan terima kasih kerana sudi luangkan masa beri peluang kepada saya untuk menemu bual Encik Amer.

Amerudin : Silakan.

MNS : Ramai orang mengatakan bahawa pasca PRU Ke-12 yang lalu keinginan meluas rakyat untuk menyertai parti kita dan parti dalam Pakatan Rakyat terutamanya di Subang mendapat sambutan luar biasa. Bolehkah Encik Amer dapat menjelaskan senario ‘luar biasa’ ini?

Amerudin : Perubahan mood rakyat yang memberi ‘pukulan maut’ khususnya di Selangor ini kepada BN pada PRU Ke-12 yang lalu telah memberi impak kepada kesedaran rakyat untuk bersama kita dan Pakatan Rakyat sebagai ahli dalam organisasi. Saya lihat sendiri dan ia memang benar. Hal ini demikian kerana keyakinan sedari awal lagi rakyat akan tawaran realistik kita ditambah pula kegagalan demi kegagalan BN memberi respon segera kepada permasalah rakyat dan negara telah banyak membantu kita meraih kemenangan ‘luar biasa’ ini. Kini, tugas kita adalah memberi ruang dan peluang kepada mereka untuk sama-sama mengisi kemenangan ini secara kolektif dalam satu organisasi parti. Ibarat rumah terbakar maka ramailah lari bertempiaran mencari perlindungan. Kita yang selamat wajar memberi perlindungan itu dan memberi segala bantuan bagi memulihkan emosi mereka dengan sebaik-baiknya. Rumah lama telah hangus. Sementara mangsa kebakaran menanti rumah baru segala keperluan asas mereka wajar kita fikirkan bersama. Maksud saya, bila dah ramai ini, motivasi kepada asas prisip perjuangan parti kita perlu diterangkan sebaik mungkin kepada mereka lantaran hilangnya kepercayaan mereka kepada BN.

MNS : Encik Amer, apakah sebenarnya kepentingan mencari dan mendaftarkan ahli baru ini kepada parti kita?

Amerudin : Kepentingan ahli baru ini tidak dapat dinafikan kerana sewaktu PRU Ke-12 lalu kami menghadapi sedikit kesukaran dalam mendapatkan sukarelawan untuk menggerakkan jentera parti untuk menjalankan kegiatan kempen seharian. Mujurlah calon-calon YB kita ini adalah di kalangan aktivis pertubuhan bukan kerajaan atau NGO di mana mereka ini punyai ramai ahli yang komited kepada kerja-kerja kesukarelawanan dan bijak untuk melaksanakan tugas-tugas yang diberikan kepada mereka. Sebagai contohnya, untuk kawasan elit dan berpendidikan tinggi seperti di Bandar Utama dan beberapa seksyen di Kota Damansara kehadiran mereka telah banyak menyumbang kepada keberkesanan gerak kerja kempen. Tanpa penglibatan aktif mereka, agak sukar juga bagi kami menggerakkan kempen yang menyeluruh di Subang ini. Oleh sebab itu, tanpa menafikan kehebatan sumbangan dan perit jerih ahli-ahli dan pimpinan PKR bahagian, sokongan gerak kerja tidak berbelah bahagi ahli-ahli NGO ini telah melengkapkan satu kerjasama kolektif yang padu.

MNS : Apakah pandangan Encik Amer tentang Ahli Parlimen (MP) kita iaitu YB Tuan R. Sivarasa?

Amerudin : Kami rasa sangat bertuah kerana mendapat MP yang kuat bekerja dan dalam masa yang sama beliau seorang yang penting dalam parti iaitu sebagai Naib Presiden dan seterusnya ahli MPT yang sudah tentu lebih arif tentang dasar-dasar parti. Oleh yang demikan segala gerak kerja terutama yang berkaitan dengan dasar parti akan lebih mudah dengan kehadiran YB Tuan R.Sivarasa. Justeru, pihak bahagian boleh terus menumpukan kerja mengukuhkan jentera bagi memperkuatkan semangat ahli bagi menghadapi PRU ke-13.

MNS : Baik. Bagaimanakah pula dengan gerak kerja untuk membantu wakil rakyat-wakil rakyat kita dalam memenuhi tuntutan manifesto PRU yang lalu?

Amerudin : Kami kekal komited dengan manifesto yang dilancarkan pada PRU yang lalu. Kami telah pun bersama YB Tuan Sivarasa menyelaraskan biro-biro berkaitan untuk menyelesaikan permasalahan rakyat terutama kes-kes tertangguh peninggalan wakil rakyat BN.

MNS : Siapa ahli dalam biro-biro ini dan apa pula fungsi mereka?

Amerudin : Biro-biro ini terdiri daripada gabungan ahli-ahli di bahagian dan petugas-petugas parlimen yang dipilih oleh saya sendiri di pihak bahagian manakala di pihak parlimen oleh YB Sivarasa sendiri. Biro-biro ini bertindak merangkul kesemua permasalahan dan hasrat rakyat di sini selaras dengan kehendak dasar parti kita yang mementingkan hak dan keadilain yang dijamin bagi semua.

MNS : Daripada perbualan kita tadi, apakah harapan Encik Amer menjelang PRU ke-13 nanti?

Amerudin : Kami mahu terus kekal mewakili rakyat di sini. Dengan gerak kerja yang tersusun dan kerjasama yang erat daripada rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat (PR) kami yakin akan dapat menawan kerusi tunggal BN di Subang iaitu di DUN Paya Jaras kerana jelas kini harapan baru untuk Malaysia telah menjadi satu sandaran kuat buat rakyat untuk menegakkan ketuanan rakyat.

MNS : Terima kasih saya ucapkan kepada Encik Amer kerana sudi untuk ditemubual.
Amerudin : Terima kasih kembali.

MEMORI PERJUANGAN