SYABAS! ANDA MEMBANGGAKAN KAMI

SYABAS! ANDA MEMBANGGAKAN KAMI

Monday, May 5, 2008

AMK SUBANG PELOPORI PAKATAN RAKYAT DI SUBANG


Oleh MNS

Bukit Lanjan 4 May 2008 - Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat (AMK) Bahagian Subang telah mengorak langkah setapak ke hadapan dengan memulakan inisiatif gerak kerja ke arah mewujudkan bayangan Pakatan Rakyat (PR) di bahagian Subang sepertimana dihasratkan pemimpin utama PR di peringkat negeri dan pusat.

Menurut pemangku Ketua AMK bahagian, saudara Mohd Radzy Mohd Aris atau lebih dikenali sebagai Eddie Putra, Ceramah Umum dan Jamuan Makan Malam mini PR ini adalah program sulung yang dianjurkan oleh AMK Subang dengan kerjasama teman-teman AMK dari Bukit Lanjan.

Program diisi dengan slot penerangan isu-isu semasa berkaitan negeri Selangor dan nasional pada malam tadi bertempat di kawasan Perniagaan Kelah di sini. Tetamu kehormat yang hadir adalah Exco Kerajaan Negeri Selangor, Cik Elizabeth Wong dan Ahli Parlimen PAS Kuala Selangor, Dr Dzulkifli Ahmad.

Turut hadir ialah Encik Amerudin Kassim, Ketua Bahagian PKR Subang; saudara Dzulkhairi Md Nasar, Timbalan Ketua AMK Subang; saudara Aru, Naib Ketua 1 AMK Subang; saudara Mat Yatim@ 'Wak kerang' dan saudara Omar Yeoh, aktivis PKR Kota Damansara, Ketua-ketua JDM dan pimpinan kawasan PAS dan DAP.

"Program sebegini akan terus diperhebat dan dipromosikan secara meluas di bahagian ini apatah lagi selepas kita menguasai negeri ini secara kolektif dalam gagasan pakatan rakyat" ujar saudara Eddie.

"Interaksi antara golongan muda dalam PR juga adalah penting dan bakal dijadikan agenda utama AMK Subang seterusnya. Integrasi yang wujud hasil daripada interaksi yang efektif akan melahirkan masyarakat yang terbuka dan cintakan keharmonian" tambah saudara Eddie Putra sebelum mengakhiri perbualan. mns

No comments:

MEMORI PERJUANGAN